Proton

Model gantian Perdana guna platform Nissan Fuga!!

January 3, 2011


NISSAN Fuga bersaing dalam pasaran kereta mewah eksekutif di pasaran Jepun

Berita menarik! Proton akan mengeluarkan model gantian Perdana dengan platform Nissan Fuga! Baca berita di bawah.

Penggunaan enjin 2.5 liter naik taraf versi eksekutif, premium PROTON

PROTON Holdings Bhd akan melancarkan model gantian Proton Perdana, sama ada pada Mac atau April ini yang akan menggunakan platform Nissan Fuga dengan kapasiti enjin 2.5 liter.
Sumber industri berkata, bagaimanapun buat permulaan model yang akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun itu hanya dipasarkan khusus untuk kegunaan kereta rasmi pegawai tinggi kerajaan.
“Sebagai permulaan, sebanyak 150 unit akan diimport dari Jepun dan ia dibawa masuk khusus untuk kereta rasmi pegawai tinggi kerajaan, tetapi jika mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pasaran, PROTON akan menimbangkan untuk memasarkannya secara komersial,” katanya pada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Fuga adalah kereta mewah Nissan yang menggunakan platform Nissan FM. Ia mula diperkenalkan di Jepun pada Oktober 2004.

Nissan Skyline, kereta sport mewah Nissan yang menjadi ‘kegilaan’ generasi muda Jepun turut menggunakan platform Nissan FM.

Fuga bersaing dalam pasaran kereta mewah eksekutif seperti Toyota Crown, Honda Legend, Mercedes-Benz E-class, Audi A6, BMW 5 series dan Jaguar XF.
Ia adalah kereta pertama dunia yang memperkenalkan teknologi sistem kawalan pedal bijak yang membantu pemandunya mengawal jarak selamat dengan kenderaan lain ketika pemanduan sama ada di kawasan bandar serta di lebuh raya.

Sumber itu berkata, penggunaan enjin lebih berkuasa untuk model gantian Perdana itu bertujuan menaik taraf kereta versi eksekutif dan premium PROTON ke tahap baru dan berupaya bersaing dengan model seperti Toyota Camry, Honda Accord, Hyundai Sonata atau Kia Optima di pasaran tempatan.

Katanya, selain untuk bersaing dalam kelasnya, penggunaan enjin yang lebih berkuasa itu juga bertujuan membezakan penggunaan enjin Proton Perdana dengan Proton Inspira yang turut menggunakan enjin 2.0 liter.

Sumber itu berkata, penggunaan Nissan Fuga itu menandakan permulaan kerjasama antara PROTON dengan Nissan Motor Company Ltd, iaitu firma automotif yang berpangkalan di Nishi-ku, Yokohama, Jepun.

“Ia (kerjasama dengan Nissan) susulan pengambilalihan kepentingan dalam Renault F1 Team yang dibuat PROTON menerusi anak syarikatnya, Group Lotus plc daripada Nissan yang dimuktamadkan awal Disember lalu.

“Menerusi pengambilalihan itu, selain membuka laluan buat PROTON terbabit dalam perlumbaan Formula Satu, ia turut membantu mengetengahkan beberapa program kerjasama baru lain antara PROTON dan Nissan, dan model penggantian Perdana adalah permulaan kerjasama antara kedua-dua pengeluar kereta berkenaan,” katanya.

Katanya, permulaan itu juga dijangka menjurus kepada kerjasama lebih serius di mana Nissan akan menggunakan kemudahan pengeluaran Proton di Tanjong Malim untuk mengeluarkan beberapa versi model lain tidak lama lagi, sekali gus membantu Proton memaksimumkan kapasiti pengeluaran kilang berkenaan.

You Might Also Like

2 Comments

(Required)
(Required, will not be published)
*
error: Content is protected !!