Uncategorized

Tata Motors Minat Jalin Kerjasama Dengan PROTON

March 10, 2011

SYARIKAT automotif terbesar India, Tata Motors berminat bekerjasama dengan PROTON Holdings Bhd untuk mengeluarkan kereta rakyat di Malaysia sama seperti model Nano keluarannya yang kini adalah kereta paling murah di dunia. Minat itu dinyatakan Pengerusi Tata Group, Ratan Tata kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pertemuan di Mumbai semalam. “(Ratan) Tata sekali lagi menyatakan minat untuk bekerjasama dengan PROTON. Perbincangan mengenai usaha sama untuk mengeluarkan kereta (antara kedua-dua syarikat itu) pernah dilakukan kira-kira tujuh tahun lalu, tetapi tidak ada keputusan.

“Kini dasar automotif kita lebih liberal, justeru terdapat peluang baru.

““Kereta ini (Nano) sesuai dan kita boleh kaji sama ada boleh membawanya masuk (ke Malaysia) atau (Tata) mengadakan kerjasama dengan PROTON bagi mengeluarkan kereta rakyat berharga dalam lingkungan RM20,000,” kata Muhyiddin Yassin kepada wartawan Malaysia.

Timbalan Perdana yang berada di India bagi lawatan rasmi selama lima hari bermula kelmarin, mengadakan pertemuan selama kira-kira setengah jam dengan pemimpin Tata Group itu.
Selepas pertemuan itu beliau dibawa Ratan Tata untuk melihat sendiri kereta Nano keluaran Tata Motors itu.

Tata Motors, iaitu anak syarikat automotif Tata Group pada 2009 mengejutkan dunia apabila juruteranya mengeluarkan Nano, kereta empat tempat duduk paling murah, berharga satu lakh atau 100,000 rupee India (kira-kira RM7,000), yang dipanggilnya ‘kereta rakyat’.

Tata Group adalah kumpulan milik persendirian terbesar di India. Dalam tahun kewangan 2009/2010, kumpulan dengan 114 anak syarikat dan menggajikan 396,000 kakitangan itu meraih pendapatan AS$67.4 bilion. – Berita Harian

You Might Also Like

1 Comment

  • At 2011.03.11 14:00, mat slamber said:

    tata nano ni dlm mcm same besar mcm kancil.tp kalau kmalangan aku rase lg slamat kancil dr kotak bergerak ni.kancil panjang skit bonet depan.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

    (Required)
    (Required, will not be published)
    *
    error: Content is protected !!