News

Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 Kembali Lagi

January 13, 2018

www.stevenleong.com

Kuala Lumpur, 10 Januari 2018 – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan kembalinya Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS), yang akan diadakan dari 23 November hingga 2 Disember
2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Pengumuman pelancaran tersebut dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, di mana Menteri tersebut turut menyaksikan majlis tandatangan antara Datuk Aishah Ahmad, Presiden MAA dan Datuk Zainal Abidin Ahmad, Pengerusi Trade-Link
Exhibition Services Sdn Bhd, bagi pelantikan Datuk Zainal Abidin Ahmad sebagai pengurus pameran KLIMS 2018.

KLIMS merupakan acara automotif yang paling mapan dan signifikan di Malaysia. Pameran yang bertemakan “Beyond Mobility” ini merupakan siri yang kesembilan, yang bakal kembali setelah terhenti selama lima tahun.

KLIMS 2018 kini bersedia untuk memacu industri automotif Malaysia dan menarik minat orang ramai dengan pelancaran beraneka model baru dan konsep kereta yang mengujakan. KLIMS mempunyai rekod prestasi yang
baik kerana dapat menarik jumlah pengunjung yang paling ramai ke acara automotif di Malaysia. Bagi KLIMS 2018, MAA menjangkakan ekstravaganza selama 10 hari itu akan dapat menarik sejumlah lebih daripada 350,000 orang pengunjung.

www.stevenleong.com

Datuk Aishah Ahmad menekankan bahawa KLIMS akan terus kekal sebagai acara kereta kebangsaan yang unggul, yang telah memainkan peranan yang penting dalam industri automotif di Malaysia. Kata beliau, “MAA telah bekerjasama dengan ahli-ahli kami dan industri automotif semasa menghadapi kesukaran. Dengan peningkatan kos sara hidup yang menjejaskan pengguna dan kenaikan kos untuk menjalankan perniagaan yang membawa kesan terhadap syarikat, sektor automotif tempatan
dijangka akan menghadapi satu lagi tahun yang mencabar. Oleh itu, MAA dan syarikat-syarikat kereta terkemuka telah berpendapat bahawa tahun 2018 adalah masa yang sesuai untuk mengadakan pameran kereta bagi menghidupkan kembali sentimen pengguna, menjelaskan kewujudan jenama, dan memperkukuhkan industri.”

Beliau turut menambah, “Kembalinya KLIMS pada tahun 2018 juga turut didorong oleh pembinaan lengkap dan pembukaan pusat pameran yang terbesar dan terkini di Malaysia iaitu Pusat Pameran dan Perdagangan
Antarabangsa Malaysia baru-baru ini. MAA yakin bahawa tapak baru bagi KLIMS ini akan membawakan pengalaman baru kepada para pempamer dan pengunjung.”

MAA menggesa pemain industri automotif untuk menggunakan KLIMS 2018 sebagai peluang untuk mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran. Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Infiniti, Isuzu, Kawasaki, Kia, Lexus,
Mitsubishi, Nissan, Peugeot, Perodua, Proton, Toyota, UD, V-Kool, 3M adalah antara yang terawal mengesahkan ruang pameran mereka.

Tema “Beyond Mobility” KLIMS 2018 adalah untuk mempersiap industri automotif bagi pasaran di masa akan datang, di samping memenuhi keperluan pelanggan masa kini. Jenama-jenama kereta akan mempamerkan
kepelbagaian landskap teknologi rangkaian kuasa, sementara permintaan yang kian meningkat terhadap kesalinghubungan dan pendigitalan membawa syarikat kereta ke perbatasan yang seterusnya. Mobiliti adalah
pemanduan yang melangkaui perjalanan ke arah gaya hidup yang saling terhubung.

KLIMS 2018 membawakan himpunan terbesar jenama-jenama dalam industri automotif, penjual kereta, pembekal aksesori, penyedia perkhidmatan berkaitan kereta dan peminat automotif serta orang ramai
dalam sebuah acara permotoran yang berorientasikan keluarga di Malaysia.KLIMS 2018 dijangka akan kembali dengan ruang pameran seluas lebih 50,000 meter persegi, yang disertai oleh lebih 100 pempamer dan menarik seramai lebih 350,000 pengunjung.

Untuk maklumat lanjut mengenai KLIMS 2018, sila layari laman web www.klims.com.my, atau hubungi Trade-Link Exhibition Services Sdn Bhd di Tel:+603-7842 9863 dan e-mel info@trade-link- group.com

You Might Also Like

No Comments

(Required)
(Required, will not be published)
*
error: Content is protected !!