Proton

Proton Disaran Teroka Pasaran Automobil Di India

December 29, 2010

PENGELUAR kereta nasional, Proton (Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd), seharusnya memanfaatkan kos pengeluaran yang rendah di India bagi menembusi pasaran automobil negara itu yang semakin berkembang.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) berkata, sektor automobil India semakin mendapat perhatian peserta industri dunia yang mahu memanfaatkan peningkatan permintaan negara itu untuk model luar. “Sekarang ini terdapat skop bagi Proton untuk datang ke sini kerana kita tidak terikat dengan sebarang syarikat lain (asing). Proton bebas dan boleh datang ke sini,” kata beliau yang juga Penasihat Proton, di New Delhi, India.

Ia sektor yang semakin mendapat perhatian dan berkembang dengan segmen kenderaan penumpang India pada 2010 (April-Ogos) menyaksikan pertumbuhan 33.88 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Industri pengeluaran kereta penumpang dan komersialnya yang ketujuh terbesar di dunia dengan pengeluaran tahunan 2.6 juta unit pada 2009. Di Asia, India menjadi pengeksport keempat terbesar bagi kereta penumpang selepas Jepun, Korea Selatan dan Thailand.

Dr Mahathir berkata, Proton kini melalui penyusunan semula dan apabila siap kelak, ia dapat meneroka pasaran India.

Sejak beberapa tahun lalu, Proton berusaha memasuki pasaran India yang kompetitif, cuba bergabung dengan pengeluar kereta di negara terbabit untuk memperluaskan operasi di rantau Asia Selatan, tapi janji niaga itu gagal dimuktamadkan.

“Proton kini disusun semula dan trend semasa ialah kenderaan mesra alam. Proton sedang sibuk membangunkan kereta hibrid dan elektrik. “Apabila ia mencapai satu tahap kecekapan, ia mungkin mahu bekerja di India. Sekiranya kita melabur di sini, kita boleh mengeluarkan kereta di sini, pertamanya melalui pemasangan dan seterusnya pembuatan apabila kita mencapai suatu jumlahnya,” katanya lagi dalam rangka lawatan peribadinya ke India bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah. – Bernama

You Might Also Like

No Comments

(Required)
(Required, will not be published)
*
error: Content is protected !!