PROTON Holdings Bhd, akan memuktamadkan rundingannya dengan pengeluar kenderaan Perancis, Renault SA bagi pemilikan kepentingan ekuiti dalam pasukan Formula Satu (F1), Renault F1 Team, tidak lama lagi.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata rundingan yang sedang berlangsung dalam suasana amat positif itu dijangka menghasilkan sesuatu yang amat menarik kepada PROTON.
“Keputusan pembelian itu akan diumumkan tidak lama lagi kerana PROTON amat serius untuk memiliki pegangan ekuiti dalam Renault F1 Team, dan perbincangan mengenainya pula amat positif.
“Pembelian itu bertujuan mengetengahkan lagi jenama PROTON, khususnya Lotus dalam aktiviti penjenamaan dan pemasaran dunia perlumbaan kereta di seluruh dunia,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat khas mengenai barisan model PROTON yang dipamerkan pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (KLIMS `10) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Pada pameran itu, PROTON turut mempamerkan lima model kereta konsep dengan rekaan amat menarik menggunakan nama pahlawan Melayu, iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.
Kereta konsep berkenaan mencerminkan hala tuju dan kemampuan PROTON dalam industri permotoran yang mana sebahagiannya akan dikomersialkan tidak lama lagi.
Difahamkan, jika pembelian ekuiti dalam Renault F1 Team itu menjadi kenyataan, PROTON bakal muncul pemegang saham kedua terbesar pasukan itu selepas Genii Capital SA, yang memiliki 75 peratus ekuiti, dan pasukan itu akan dijenamakan semula sebagai Lotus-Renault.
Syed Zainal berkata, selepas pembelian itu nanti, PROTON menerusi anak syarikatnya, Group Lotus akan menceburi dunia F1 secara bersendirian.
Dalam perkembangan lain, Syed Zainal berkata, PROTON akan mengadakan rundingan rasmi dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akhir bulan ini bagi memperhalusi keperluan pembentukan pakatan strategik antara kedua-duanya.
Katanya, rundingan yang akan turut membabitkan pemegang saham utama kedua-dua syarikat itu, serta beberapa agensi kerajaan berkaitan, diadakan susulan siapnya laporan kajian cadangan penggabungan yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Syed Zainal berkata, apabila rundingan rasmi antara PROTON dan PERODUA dimuktamadkan kelak, kedua-dua pihak akan mengemukakan cadangan terbaik untuk dipertimbangkan kerajaan.
Sumber: Berita Harian