Uncategorized

MAI Mahu Lahir 4,600 Pereka Bentuk Automotif

January 12, 2011

INSTITUT Automotif Malaysia (MAI) yakin melahirkan 4,600 pereka bentuk dalam industri automotif menjelang 2015 sejajar aspirasi kerajaan mewujudkan hab automotif reka bentuk, kejuruteraan dan perkhidmatan tempatan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Madani Sahari berkata, pada masa ini terdapat 1,210 pereka dalam bidang automotif di negara ini yang berkhidmat dengan pelbagai syarikat permotoran terutama Proton Holdings Berhad (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

Katanya, apabila sasaran itu tercapai, pastinya lebih ramai syarikat asing berminat untuk melabur ke negara ini membabitkan bidang rekaan automotif.

“MAI diwujudkan bagi membantu industri dalam beberapa bahagian, satu daripadanya pembangunan modal insan dalam industri automotif.

“Apabila sasaran ini dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang, tentunya mampu menambah baik dan meningkatkan kemahiran serta kejuruteraan reka bentuk automotif negara,” katanya pada sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MAI dan DreamEDGE Sdn Bhd (DreamEDGE) di Kuala Lumpur, semalam.

MoU berkenaan dimeterai Mohamad Madani yang mewakili MAI dan Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan sambil disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Kerjasama itu langkah pertama dalam siri pakatan dirancang MAI untuk meningkatkan keupayaan reka bentuk dan kejuruteraan tempatan bagi industri automotif tempatan. Sementara itu, Mukhriz berkata, pereka automotif di negara ini sudah mencapai kualiti dan tahap sama dengan negara maju.

You Might Also Like

No Comments

(Required)
(Required, will not be published)
*
error: Content is protected !!