Toyota

Toyota Bangun Motor Elektrik Kurang Guna Logam

January 18, 2011

Teknologi baru kurang kebergantungan terhadap China

TOYOTA Motor Corp, pengeluar kereta hibrid popular, Prius, sedang membangunkan motor elektrik jenis baru bagi mengurangkan kebergantungan kepada logam yang sukar didapati selain mengurangkan kos pengeluaran.

Jurucakap syarikat itu, Paul Nolasco berkata, teknologi baru berkenaan akan membantu pengeluar kereta nombor satu dunia itu daripada bergantung kepada China yang mengeluarkan 97 peratus daripada bahan mentah bagi penghasilan produk berteknologi tinggi global termasuk model terkini kereta gasolin-elektrik.

Akhir tahun lalu, China mengejutkan sektor teknologi tinggi Jepun apabila ia menyekat eksport bahan logam eksotik itu ke negara berkenaan berikutan pertikaian diplomatik, dan harga bahan itu semakin meningkat apabila ia mengurangkan pengeluarannya.

“Toyota sentiasa berusaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah dan kos. Namun, syarikat tidak mengumumkan sebarang penggunaan khusus atau tempoh bagi pengeluaran motor baru itu, ” katanya.

Toyota membuat pelaburan besar dalam teknologi hibrid gasolin-elektrik.
Tahun lalu, seorang eksekutif Toyota Motor Corp berkata, syarikat itu akan mula memasarkan kenderaan elektrik sepenuhnya pada 2012 di Amerika Syrarikat (AS), Jepun dan Eropah.
Toyota juga menjalin kerjasama dengan Tesla, pengeluar kereta elektrik mewah AS bagi membina kenderaan elektrik sukan-utiliti (SUV).

Sementara itu, Penganalisis di Mizuho Investors Securities, Ryoichi Saito, berkata pengeluaran kenderaan seumpama itu masih lagi kecil dan risiko jangka pendek bagi kekurangan bahan mentahnya masih lagi rendah, namun perkara itu boleh berubah dengan cepat.

“Kini ia bukan satu isu yang besar, tetapi kenderaan jenis ini sudah menjadi semakin popular. Ia akan menjadi risiko yang besar jika pengeluarannya dihadkan atau dihentikan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat mengeluarkan produk berteknologi tinggi melakukan tindakan betul apabila membangunkan produk alternatif berikutan perdagangan yang tidak pasti dengan China.

Jepun juga secara aktif memulakan perjanjian di seluruh Asia bagi membangunkan sumber alternatif.

November lalu, China menyambung semula eksport bahan mentah sukar didapati itu ke Jepun selepas dua bulan sekatan dilakukan ekoran pertelingkahan diplomatik membabitkan perebutan pulau. – AP

You Might Also Like

No Comments

(Required)
(Required, will not be published)
*
error: Content is protected !!