Uncategorized

DreamEDGE Bangunkan Model Prototaip Nissan

February 14, 2011

Iktiraf kemampuan syarikat kejuruteraan tempatan

NISSAN Group, antara pengeluar kenderaan terbesar dunia, menerusi cabang permotoran akan menyumber luar proses pembangunan prototaip model baru kenderaannya kepada syarikat tempatan, DreamEDGE Sdn Bhd.

Perjanjian penyumberan luar bagi kerja berkenaan antara Nissan dan DreamEDGE, antara syarikat Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dijangka dimuktamadkan menjelang hujung bulan ini.
Langkah itu dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap kemampuan syarikat dalam bidang perkhidmatan kejuruteraan khususnya oleh gergasi automotif global.

Syarikat Jepun yang suatu ketika dulu memasarkan kenderaan jenama Datsun itu kini mula meninjau pusat baru bagi kerja pembangunan kejuruteraannya.

Ia dibuat selepas hampir 10 tahun beroperasi di Vietnam menerusi anak syarikatnya, Nissan Techno Vietnam Ltd yang mempunyai kira-kira 2,000 jurutera tempatan dengan kemahiran tinggi dari Jepun.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, berkata syarikatnya akan terbabit dalam proses menukar data 2D sedia ada Nissan kepada data 3D sebagai persediaan untuk menghasilkan prototaip model kenderaan baru syarikat Jepun itu yang dijangka dikeluarkan secara komersial tahun depan.
“Buat permulaan, seramai 15 jurutera syarikat kami akan terbabit dalam kerja penyumberan luar berkenaan,” katanya ketika ditemui Berita Harian di Cyberjaya, baru-baru ini.

DreamEDGE sebelum ini juga sudah bekerjasama dengan pengeluar kenderaan nasional, PROTON dalam bidang reka bentuk.

Khairil Adri berkata, pemilihan DreamEDGE itu merintis peluang untuk Nissan menubuhkan anak syarikat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia jika mutu kerja yang dipamerkan syarikat itu menepati keperluannya.

“Nissan bermula dengan hanya 30 jurutera ketika ia menyumber luar perkhidmatan berkenaan di Vietnam. Kini, jumlahnya mencecah 2,000 orang yang terdiri daripada rakyat negara itu sendiri,” katanya.

Beliau menjelaskan, langkah Nissan memilih syarikat tempatan untuk kerja penyumberan luar itu adalah disebabkan firma itu mahu mencari pasaran baru yang mempunyai mutu kerja lebih baik dan mengekalkan kos yang berdaya saing.

Susulan itu, katanya, Nissan berupaya menjimatkan kos sehingga kira-kira satu pertiga daripada kos asal dengan hasil kerja yang bermutu tinggi.

Khairil Adri berkata, menerusi perjanjian awal itu, DreamEDGE akan memperoleh tiga skop kerja yang masing-masing membabitkan tempoh pelaksanaan berlainan.

“Fasa pertama akan bermula Mac ini untuk tempoh tiga bulan, fasa kedua bermula April untuk tempoh setahun dan fasa terakhir dijangka bermula Ogos selama enam bulan,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan DreamEDGE itu adalah hasil cadangan firma Fujitsu Digital Process Ltd yang sebelum ini banyak mendapatkan hasil kerja syarikat Malaysia itu.

“Ini juga akan membolehkan matlamat melahirkan lebih ramai jurutera R&D bagi mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi dapat dicapai,” katanya.

DreamEDGE, awal bulan lalu bekerjasama dengan Institut Automotif Malaysia (MAI) dalam bidang kejuruteraan untuk melahirkan tenaga kerja bermutu tinggi dalam industri automotif.

PROFIL: DreamEDGE
Ditubuhkan pada 2007 menerusi kerjasama Digital Process Ltd (Dipro) dengan diterajui oleh bekas pekerja Dipro
Beribu pejabat di Cyberjaya
Miliki 30 kakitangan terdiri daripada jurutera tempatan dan asing
Aktiviti perniagaan – perkhidmatan kejuruteraan, penyelesaian kejuruteraan dan perundingan kejuruteraan semua sektor khususnya automotif
Antara syarikat NKEA dalam projek permulaan (EPP) perkhidmatan perniagaan
Antara pelanggan utama – Proton, Canon, Denso dan Advanced Manufacturing Institute.

Komen: Satu permulaan baik untuk syarikat penyedia penyelesaian automotif tempatan kerana mula mendapat perhatian syarikat gergasi permotoran terutamanya dari Jepun. Ini menunjukkan industri automotif negara tidak kurang dari segi kepakaran dan daya saing untuk menjadikan negara kita sebagai salah satu destinasi pilihan untuk penyumberan luar samada dari segi kejuruteraan mahupun pembuatan komponen.- Berita Harian

You Might Also Like

No Comments

(Required)
(Required, will not be published)
*
error: Content is protected !!