PROTON Holdings Berhad (Proton) memperkenalkan Proton R3 Satria Neo, model edisi terhad yang dijual pada harga RM79,797.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, model itu adalah kesinambungan hasil pembabitan dan kepakaran Proton dalam sukan bermotor.
“R3 Satria Neo dilengkapi enjin standard 1.6 liter Campro S4PH dinaik taraf Peringkat 2 dan mempunyai brek kuasa kuda 145 pada 7,000 rpm dan kuasa terjahan 168 nM pada 5,000 rpm.
“Model ini berharga RM79,797 dan boleh didapati menerusi tempahan serta merta di semua bilik pameran Proton Edar di Semenanjung Malaysia,” katanya pada satu kenyataan media. Beliau berkata, yuran tempahan bagi model terbabit ialah sebanyak RM2,000 dan pelanggan terawal akan dijemput ke acara pelancarannya.
“Didatangkan dalam warna eksklusif merah api dengan bumbung bercat hitam, R3 Satria Neo mempunyai bentuk luaran berbeza daripada model sebelum ini.
“Berdasarkan kepakaran yang ada, pelanggan dan bakal pelanggan akan melihat model generasi baru terpilih disuntik berserta elemen dinamik yang menjanjikan kepuasan lebih hebat,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, lawati bilik pameran Proton berhampiran. Orang ramai juga boleh menghubungi Proton i-Care di talian 1-300-880-888 atau melayari laman web rasmi di www.r3.proton.com