Subaru

Fuji Heavy Buka Pusat Pasang Subaru di Malaysia

March 14, 2011

INDUSTRI automotif negara semakin mendapat perhatian apabila sebuah lagi syarikat kenderaan terkemuka global, Fuji Heavy Industries Ltd (Fuji Heavy) yang mengeluarkan kereta jenama Subaru, bercadang membuka pusat pemasangan kenderaan itu di Malaysia sebagai strategi meningkatkan jualan di rantau ini. Hasrat itu, secara tidak langsung membuktikan usaha kerajaan mempromosi Malaysia khususnya menerusi liberalisasi sektor pengeluaran dan perkhidmatan serta pelbagai misi perdagangan semakin menarik minat pelabur asing.

Akhbar harian Nikkei, Jepun baru-baru ini melaporkan Fuji Heavy akan bekerjasama Motor Image Enterprises Pte (Motor Image), syarikat berpangkalan di Singapura, untuk mengeluarkan sehingga 5,000 kenderaan Subaru setahun bermula 2013.

Difahamkan, kedua-duanya masih dalam perbincangan, tetapi berkemungkinan akan memasang kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru Forester di kilang Motor Image dengan enjin dan pelbagai peralatan penting diimport dari Jepun.

Bagaimanapun, pada masa depan, operasi pengeluaran di Malaysia akan meningkatkan penggunaan alat ganti tempatan untuk mengurangkan kos dengan Fuji Heavy menyasar untuk mengembangkan rangkaian jualan ke rantau ini.

Mengulas perkembangan itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (AAM), Datuk Aishah Ahmad, berkata langkah itu tentunya baik untuk ekonomi Malaysia, sekali gus berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Selain itu, pengeluar alat ganti kenderaan di negara ini juga akan meraih peluang perniagaan baru. Industri automotif tempatan akan berdepan dengan saingan yang sihat,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba, berkata pihaknya setakat ini masih belum menerima maklumat terperinci mengenai rancangan kedua-dua syarikat kenderaan terbabit.

Namun, beliau berpendapat, jika pelaburan kedua syarikat itu membabitkan pengeluaran kenderaan berkuasa tinggi, ia tidak akan memberikan masalah kepada industri automotif negara.

“Jika ia membabitkan pengeluaran kenderaan berkuasa rendah, ia mungkin akan menimbulkan kebimbangan kerana mampu menggugat kepentingan industri automotif tempatan seperti Proton dan Perodua,” katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi dari Sekolah Perdana Polisi Sains, Teknologi dan Inovasi UTM, Profesor Madya Dr Azmi Abdul Rahman, berkata perkembangan baru itu membuktikan ada keghairahan pihak luar untuk melabur di negara sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, wujud pelbagai faktor yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi menarik seperti kos yang menarik, mempunyai pekerja berkemahiran dan berupaya menjadi platform untuk menembusi pasaran serantau.

“Kita berharap Fuji Heavy menjadi Malaysia sebagai pusat pengeluaran untuk dieksport ke tempat lain dan tidak hanya bagi menembusi pasaran tempatan semata-mata kerana ia akan mewujudkan persaingan sengit dengan pengeluar kenderaan tempatan,” katanya.

Komen admin: Satu lagi berita baik untuk peminat automotif dan jurutera-jurutera automotif tempatan apabila Fuji Heavy melalui Motor Image mahu melabur untuk kilang pemasangan di negara kita. Ini bakal merendahkan lagi harga jualan untuk kereta Subaru di samping perkhidmatan lepas jualan yang lebih baik dan jaringan alat ganti yang lebih murah dan luas. Yang paling penting peluang pekerjaan yang bakal dihasilkan dan perpindahan teknologi Subaru ke pembekal komponen tempatan. Gempa yang melanda Jepun baru-baru ini sedikit sebanyak memberi impak negatif kepada ekonomi negara kuasa besar kereta itu namun ianya dilihat dalam jangka masa yang singkat.

You Might Also Like

No Comments

(Required)
(Required, will not be published)
*
error: Content is protected !!