Proton, Uncategorized

Sukan Permotoran Promosi Jenama Proton

March 8, 2011

PROTON Holdings Berhad (Proton) akan memberi tumpuan kepada strategi meningkatkan jenama Proton menerusi sukan permotoran yang mampu mempromosi serta menjadi tempat ujian kepada pasaran baru yang berpotensi.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, sukan permotoran adalah platform yang membolehkan pembuat kereta itu mempromosikan jenama dan meningkatkan kesedaran dalam pasaran baru dan berpotensi.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan bagi mengumumkan harga baru model Proton R3 Satria Neo yang dijual pada harga RM79,797 seunit di atas jalan termasuk, cukai jalan dan insurans.

Model R3 Satria Neo dibangunkan Bahagian Permotoran Sukan Proton menerusi jenama ‘Race, Rally, Research’ (R3) dan kereta itu mudah dikenali berdasarkan warna merah menyala di bahagian luar serta bumbung hitam.

Model itu adalah lanjutan pembabitan Proton dalam perlumbaan motor dan menyambung segmen permintaan pelanggan serta peminat yang mahukan kenderaan yang dibangunkan khusus untuk prestasi selain untuk kegunaan harian.

Orang ramai boleh melihat dengan lebih dekat model itu di bilik pameran Crystal Proton Edar di Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam atau di mana-mana tiga bilik pameran Platinum di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur; Juru, Pulau Pinang dan di Plentong, Johor. Tempahan RM2,000 boleh dibuat serta-merta di mana-mana 23 cawangan jualan Proton Edar di Semenanjung dan pembeli dijangka memperoleh kereta masing-masing dalam tempoh empat minggu selepas pinjaman diluluskan. – Bernama

You Might Also Like

No Comments

(Required)
(Required, will not be published)
*
error: Content is protected !!